Posted on 2:58 AM
"INGIN bertanya pada hati, bibir berat berbicara... siapa yang bertakhta di hati? Hanya dia..."
Kata orang cemburu itu tandanya sayang dan boleh menguji sejauh mana perasaan cinta pada kita.. Tetapi kadangkala cemburu itu membuat diri menjadi tak tentu hala.
Perhubungan kasih yang cuba di hulurkan Tuan Megat membuat Miera dalam dilema. Hatinya masih menunggu kehadiran Haikal iaitu cinta pertamanya. Kehilangan Haikal bertahun lamanya tanpa khabar berita membuat Miera tertanya-tanya. Apa salahnya? Dalam masa yang sama sikap Tuan Megat yang sentiasa memburu cintanya meletakkan dia di persimpangan. Seperti janji Tuhan, setiap makhluknya tidak sempurna semuanya. Begitu juga dengan Tuan Megat. Dalam keperibadian yang terjaga masih ada kecacatannya. Demi keluarga, Miera menerima Tuan Megat dengan bersyarat dan cuba memberi ruang untuk mengenali lelaki itu. Tetapi tidak semuanya indah belaka. Panas yang diharapkan gerimis gugur juga. Kehadiran teman lamanya Jay Jay yang lebih bersikap tomboy dan kemunculan Haikal mencabar keegoaan Tuan Megat.
Siapakah yang dapat mengetuk pintu hati Miera hanya beliau sahaja yang tahu. Adakah Haikal kembali merebut takhta dan Tuan Megat menjeruk rasa? Dapatkah Tuan Megat memenuhi syarat yang ditetapkan dan bagaimana pula perhubungan Miera dengan teman karibnya. Perlukah Miera berkorban lagi untuk senyuman orang lain dan gerimis masih meniti bibir hatinya.
Posted on 2:51 AM
"DAH boleh pergi ni...."
Aku berbicara sendiri.
Aku begitu ralit
memeriksa segala peralatan memancing tanpa menyedari
mama sudah berada di belakang, memerhati tingkah lakuku.
"Kau ni nak ke mana, Miera?"
Hampir gugur jantungku bila mama menyergah.
"Mama ni buat Miera terkejut aje. Lain kali bagilah
salam," usikku bila melihat mama menjeling tajam.
"Janganlah mama membebel...." doaku sendiri.
"Kau ni nak ke mana?"
Aku terdiam bila mama sudah bersuara.
"Miera nak pergi memancing kat sungai belakang
rumah tu." Rasa tak tertelan air liur bila menerangkan
rancanganku hari ini.
"Kau nak jadi apa, Miera? Kalah budak lelaki! Abang
kau pun tak seteruk ni."
Aku menghela nafas sambil menadah telinga,
terpaksa mendengar leteran mama sambil menggosok-gosok joran kesayanganku.
"Alah mama, Miera pergi sekejap aje. Lagipun minggu depan Miera dah mula kerja, jadi mesti tak ada masa." Aku cuba memujuk mama membenarkan aku pergi.
"Biarlah dia nak pergi. Bukan ke mana pun!"
Aku tersenyum bila ayah melangkah menghampiri kami. Aku tahu ayah selalu menyokong segala apa yang kubuat kerana ayah lebih percayakan aku daripada mama.
"Abang nikan, selalu menangkan anak kesayangan abang ni...."
Aku melihat mama sudah menarik muka masam.
"Bukan abang menangkan Miera ni... Cuba Maz fikir, dari dia merayau tak tentu arah di kompleks-kompleks membeli-belah, bercampur pulak dengan orang-orang yang tak senonoh, lebih baik dia melekat di sungai. Kita tahu di mana nak cari dia!" terang ayah membuat hatiku kembang.
"Abang memang, suka kalau dia ikut jejak langkah abang, kan? Tunggang motor besar, memancinglah... macam-macam lagilah! Kekadang saya pun tak tahu anak saya ni perempuan ke lelaki!" luah mama sambil matanya menjeling tajam ke arahku.
"Mama ni... ada pulak tak kenal Mira ni lelaki ke perempuan! Miera ni masih tahulah nak bezakan hobi dan sikap." Aku cuba membela diri.
"Betul cakap Mira tu, Maz. Salah anggapan Maz pada anak kita ni...." Ayah sudah mula bersyarah.
"Dahlah, malas saya nak bertekak dengan bapak dan anak ni. Takkan menangnya saya...." rajuk mama sambil bangun mahu meninggalkan kami.
"Sikit-sikit sayang abang ni tarik muncung. Janganlah merajuk, sayang...."
Geli hati aku melihat ayah memujuk mama.
"Mulalah tu! Tak malu langsung dengan anak agaknya?"
Aku lihat muka mama sudah merona merah. Tawa aku dan ayah bersatu melihat tingkah mama. Memang aku dan ayah selalu menyakat mama kerana bagiku mama begitu pemalu sifatnya. Mungkin juga sebab itu ayah begitu setia dengan mama. Aku berharap agar dapat merasai seperti percintaan mama dan ayah, tetapi adakah insan yang mahu menjadikan aku teman hidupnya dengan perangai aku begini? Biarlah masa menentukan segalanya... Bagiku biarlah pasanganku dapat menerima aku seadanya. Terbayang wajah yang satu itu.
BUNYI air yang mengalir membuat aku leka seketika. Kuambil seekor cengkerik yang kubeli tadi dan kucucuk di mata kail lalu kulontar ke dalam air. Kugulung perlahan-lahan talinya sehingga tegang dan membiarkannya. Aku memang suka duduk di tepi sungai ini andai tiada apa yang hendak kulakukan. Sungai ini telah banyak berjasa denganku kerana di sinilah segala rintihan dan kegembiraan kulepaskan. Seperti kata ayah, mama sudah tahu di mana hendak mencariku kalau kelibat ini tiada di depan matanya.
Minggu depan aku akan mula bekerja di sebuah syarikat gergasi di bahagian pentadbiran. Dengan sijil dan pengalaman di tempat lama, aku diterima sebagai Pentadbir Kanan. Itu yang dikatakan rezeki, kata ayah. Teringatkan ayah membuatkan aku senyum sendiri terkenang peristiwa
Siapakah Di Hatiku
tadi. Selamba sahaja ayah menunjukkan kasih sayangnya dengan mama. Romantik sungguh! Adakah suami aku pun begitu nanti?
Haikal... satu nama yang sering sahaja menghiasi bibirku. Tetapi itu dulu, sebelum lelaki itu menghilangkan diri tanpa khabar berita. Aku sendiri tidak tahu apa kesilapanku sehingga aku ditinggalkan sendirian. Nasib baiklah ayah dan mama tidak mengetahui perhubungan kami. Hanya abang sahaja yang mengerti dan sering meniupkan semangat agar aku tidak terus rebah.
Haikal, di mana kau? Kalau tidak suka berkawan dengan aku, beritahu saja.... desis hatiku.
Tiba-tiba aku terasa joranku bergerak. Dengan pantas aku menyentap. Berhati-hati aku menggulung tali agar ikan yang sudah tersangkut di mata kail tidak terlepas. Akhirnya setelah berhempas-pulas, aku berjaya menaikkan seekor ikan keli yang saiznya lebih kurang sama dengan lenganku. Aku akan meminta mama buat masak lemak cili api. Tetapi tentu lebih sedap kalau dibakar dulu. Meleleh air liur beb!