SIAPAKAH DI HATIKU

Adilla Tasha

APA KATA HEROIN?



"Helo cik abang, saya suruh tengok borang ni... bukannya wajah saya."

APA KATA HERO?


"Iye... mulai hari ini, detik ini, abang mahu sayang panggil abang dengan perkataan ABANG. Cuba eja sayang, A…B…A…N…G."

Siapakah Di Hatiku - Bab 10

PENAT rasanya hari ini setelah
seminggu melepak di rumah.
Kerja yang berlambak-lambak
membuat aku tidak senang duduk. Nasib baik Shikin
menyediakan apa yang kuminta.
"Cik Miera, sekarang waktu makan. Tak mahu
turun ke?"
Baru aku perasan waktu yang begitu cepat berlalu.
Kalau tidak ditegur oleh Shikin, memang aku terus
tenggelam di dalam arus kesibukanku. "Alamak! Dah pukul
satu? Saya tak sedarlah, Shikin."
Shikin hanya tersenyum bila melihat kekalutanku.
Shikin seorang gadis lembut yang telah mempunyai buah
hati, hanya menunggu masa hendak merasmikannya sahaja.
Aku senang berkawan dengannya. Walaupun
jawatanku lebih tinggi daripada kakitangan lain di bahagian
ini, aku tidak pernah membezakannya kerana bagiku,
kerjasama di dalam pasukan itu lebih penting.
"Cik Miera mengelamun lagi ke?"

Terasa malu menyerbu apabila ditegur begitu.
Kami akhirnya sama-sama menghayun langkah menuju ke arah lif. Sampai di tingkat bawah, aku melangkah diikuti oleh Shikin.
"Cik Miera makan di mana?"
Terkejut aku apabila disapa oleh Encik Safuan. Kelihatan Tuan Megat berdiri di sisinya sambil memandang tepat kepadaku.
"Tempat biasalah...." balasku. Aku malas hendak bersoal jawab lagi dengan mereka.
"Saya pergi dululah Encik Safuan... Tuan Megat."
Aku melangkah sambil memaut tangan Shikin sebelum sempat Encik Safuan berkata apa-apa. Dengan sifat ramah Encik Safuan itu, tidak mustahil dia akan mengajak kami makan sekali dengannya. Pada aku, tidak kisah makan dengan sesiapa pun... tetapi memandangkan pengarah ada sekali, pasti seleraku terbantut untuk menikmati makanan.
"Kenapa Cik Miera tergesa-gesa sangat ni?" tanya Shikin.
"Saya laparlah." Aku rasa itu sahaja alasan yang ada di fikiranku ketika ini. Logik tidaknya alasanku, itu soal kedua.
"Tuan Megat tu kacak, kan?"
Rasa nak tergelak aku dengan kenyataan Shikin itu. Kalaulah dia tahu Tuan Megat itu pernah mendukungku, bagaimana penerimaan Shikin agaknya? Terasa bergetar jantungku bila Shikin berkata demikian. Kacakkah lelaki itu?
Aku pun tiada jawapannya kerana aku tidak pernah menatapnya secara terperinci walaupun kesempatan itu sudah dihulurkan oleh empunya diri.
Namun apa yang pasti, lelaki itu memang mempunyai karisma dan sifat kelelakian yang didambakan oleh semua wanita. Di sini sahaja ramai wanita yang cuba menarik perhatian lelaki itu. Mungkin dia sudah ada teman istimewa agaknya... siapa tahu, kan?
"Kenapa, dah terpaut ke? Ingat sikit, abang awak tu nak campak kat mana?" usikku.
"Saya cakap saja, tak ada apa-apa maksud pun!"
Aku menahan tawa di dalam hati. Kelakar dengan sifat lurus bendul Shikin itu.

0 comments:

Post a Comment



 
Template Modified and Brought to you by blogger templates. Reka bentuk oleh MUZRI (Penulisan2u)