SIAPAKAH DI HATIKU

Adilla Tasha

APA KATA HEROIN?



"Helo cik abang, saya suruh tengok borang ni... bukannya wajah saya."

APA KATA HERO?


"Iye... mulai hari ini, detik ini, abang mahu sayang panggil abang dengan perkataan ABANG. Cuba eja sayang, A…B…A…N…G."

Siapakah Di Hatiku - Bab 6

SEPERTI yang dijanjikan, kami
ke Shah Alam, rumah teman
mama. Setibanya di sana, kami
disambut dengan penuh mesra oleh Auntie Shamin dan
suaminya.
Pada mulanya aku berfikir mungkin suasana ini
akan membuat aku dilanda kebosanan memandangkan hanya
aku sahaja orang muda. Tetapi bila melihat kehadiran anak
perempuannya yang agak ramah, kebisuan kulontarkan jauhjauh.
"Sudah besar anak kau, Maz. Cantik macam
ibunya."
Terasa kembang hatiku bila Auntie Shamin
memujiku.
"Kau pun apa kurangnya, anak dara kau ikut
langkah maknya... sentiasa jaga kecantikan."
Aku hanya tersenyum pada Shazlin, anak ketiga
pasangan ini sementara Shazlin mengangkat keningnya
sambil membalas senyumanku.

"Mana anak kau yang lagi dua orang tu, Min?"
Mama ni, semuanya hendak ditanya. Biarlah mereka tiada di sini, senang sikit hatiku.
"Yang sulung tu sibuk memanjang dengan kerjanya, yang kedua tu pulak bekerja di Sarawak," terang Auntie Shamin serba sedikit.
"Nasib baiklah ada anak membantu kau, Min," luah mama.
"Iyelah Maz, nasib baik yang sulung tu sanggup nak ambil alih perniagaan ayahnya. Kalau tak, sampai sekarang tak duduk rumahlah orang tua tu...."
Beruntung Auntie Shamin mempunyai anak yang begitu bertanggungjawab.
"Hai, abang-abang kita kat luar tu tak mahu makan ke?"
Pertanyaan mama mengingatkan yang kami datang bersama ayah. Dari tadi ayah asyik berbual dengan suami Auntie Shamin yang masih tidak kutahu namanya, di ruang tamu. Aku terasa ada kelainan di perutku. Mungkin kerana di rumah tadi, bergelas air yang kuminum. Hajat hati hendak masuk sahaja ke tandas di ruang dapur ini, tetapi macam tidak manis pula.
"Kak Miera, mari naik atas sekejap nak tak?"
Sapaan Shazlin menyelamatkanku.
"Marilah...." jawabku spontan sambil memandang mama. Aku takut mama marah dengan gelagatku.
"Miera!"
Sepatah ayat mama aku sudah tahu niatnya.
"Biarlah Maz, dia orang nak berbual jugak. Asyik
mendongak pandang kita berbual tak tahu hujung pangkalnya." Tersenyum Auntie Shamin menyokong kami.
Shazlin menarik tanganku agar mengikutnya. Sampai sahaja di tingkat atas, aku pula menarik tangan Shazlin, membuatkan langkahnya terhenti.
"Lin, akak nak masuk bilik airlah." Segera aku sampaikan niatku.
"Boleh, apa salahnya. Akak nak masuk yang mana? Situ ada, dan dalam bilik Lin pun ada."
Bagiku biarlah aku masuk ke bilik air di luar sahaja kerana segan rasanya hendak menggunakan bilik air di bilik Shazlin. Tambahan pula kami baru sahaja berkenalan.
"Bilik air kat luar sajalah."
Aku segera masuk ke bilik air tersebut sementara Shazlin berlalu ke biliknya. Setelah selesai segala-galanya, aku memulas tombol pintu dan hendak melangkah keluar dari situ. Oleh kerana terperanjat melihat seseorang berdiri di muka pintu sebuah bilik, menjadikan aku terpijak permukaan yang tidak rata di antara tebing pintu dan bilik air tersebut. Terduduk aku di situ menahan sakit. Mungkin kaki aku terseliuh kerana terasa sakit di buku lali.
"Miera! Apa awak buat di sini?"
Aku segera mendongak dan bagai hendak luruh jantungku melihat wajah yang begitu kukenali berada di hadapan mataku.
"Tuan!!! Apa tuan buat kat sini?"
Dia turut terperanjat melihat diriku yang terduduk di atas lantai bilik air.
"Kenapa Kak Miera?" tanya Shazlin sambil menerpa ke arahku yang masih terduduk.

"Kaki akak terseliuhlah," jawabku tanpa menjawab pertanyaan daripada lelaki itu.
"Lin kenal kakak ni ke?"
Mungkin kerana tidak mendapat jawapan daripadaku, maka dia menagih daripada Shazlin pula.
"Ini anak kawan maklah, Kak Miera namanya. Itulah abang, asyik kerja saja sampai tetamu pun tak kenal."
Huh! Dahsyat juga Si Shazlin ni membebel!
"Kak Miera boleh jalan tak?" tanya Shazlin.
"Rasanya boleh kut." Aku cuba bangun dan berjalan, tetapi terduduk semula.
"Kenapa?" Lelaki itu bertanya.
"Kaki saya tak boleh nak pijak." Berkerut keningku menahan sakit.
"Kak Miera tunggu sini, Lin pergi turun ambil minyak angin sekejap."
Belum sempat aku berkata apa-apa, Shazlin segera berlari turun, meninggalkan aku dan lelaki ini. Tanpa sebarang signal, tubuhku diangkat dan diletakkan di atas sofa yang terdapat di situ.
"Tuan!!!" Aku hanya sempat berkata itu sahaja bila kata-kataku dipintas.
"Diam!" Tegas suaranya kedengaran di telinga.
"Jangan salah faham. Saya tak mahu awak duduk di atas lantai sambil menahan sakit," sambung lelaki itu apabila menyedari aku hanya terlopong melihat perbuatannya.
Baru aku hendak bersuara, suasana menjadi kecoh semula bila mama, ayah, Auntie Shamin dan suaminya terkocoh-kocoh meniti anak tangga dan menuju ke arahku.

"Macam mana boleh jadi begini, Shah?"
Auntie Shamin cuba memegang kakiku tetapi segera kualih kerana denyutannya sudah mula menyerang ke seluruh bahagian buku lali.
"Miera terseliuh masa keluar dari bilik air, mak. Mungkin licin agaknya," terang Shah.
"Salah Miera, auntie." Aku cuba meredakan kerisauan di hati Auntie Shamin dan mama. Kulihat ayah dan suami Auntie Shamin hanya memerhati.
"Dah bengkak kaki Miera ni, kena bawa ke klinik," luah Auntie Shamin sambil matanya tidak lekang dari melihat kakiku yang mulai membesar dari saiz asal.
"Tak apalah auntie, sikit aje ni. Nanti baiklah." Aku cuba membuat alasan.
"Mana boleh baik kalau kaki tu dah bengkak. Shah, boleh bawa Miera ke klinik tak?"
Ini yang aku lemah bila Auntie Shamin mengarah Tuan Megat.
"Tak apalah Min, nanti Maz bawa Miera ke klinik. Kesian pula dengan Shah, kan ke dia baru balik kerja. Penat pun tak hilang lagi tu," sampuk mama.
"Auntie dan uncle tunggu kat sini, biar Shah bawa Miera ke klinik. Auntie pun baru sampai kat rumah kami. Biar Lin temankan kami."
Aku hanya memerhati mereka berbincang pasal diriku.
Tuan Megat berlalu masuk ke biliknya dan sebentar kemudian dia muncul dengan berseluar jean dan t-shirt. Nampak kasual pula bila sesekali melihat dia berpakaian seringkas ini.

"BAGAIMANA isteri you boleh jadi begini?"
Terkulat-kulat aku bila doktor itu berkata demikian dengan Tuan Megat. Doktor ni, sedap-sedap saja kata aku isteri kepada lelaki ini! Mungkin dia melihat perbuatan Tuan Megat mendukungku masuk ke bilik rawatan ini sementara Shazlin disuruh menunggu di luar.
"Dia terjatuh masa nak keluar dari bilik air."
Termangu dengan jawapan yang diberikan oleh Tuan Megat, aku langsung tidak membantah dengan anggapan doktor itu. Terlintas semula peristiwa ketika hendak ke klinik tadi. Ayah sememangnya tidak larat hendak mendukungku ke kereta dan secara gentleman Tuan Megat meminta kebenaran daripada mama dan ayah untuk menghulurkan bantuan. Permintaan itu disokong pula oleh Auntie Shamin dan suaminya kerana menurutnya, niat anak bujang mereka ikhlas dan tidak perlu dipertikaikan.
Pada mulanya aku menolak dan cuba juga untuk melangkah, tetapi kerana kesakitan yang teramat, aku tidak sanggup untuk terus memaksa diriku melakukannya. Tidak tahu di mana hendak kuletakkan mukaku bila berada di dalam dukungan Tuan Megat.
Shazlin dari tadi asyik tersenyum simpul bila mata kami bertembung. Jantungku berdegup pantas bila harumannya mencucuk-cucuk hidungku, tetapi wajahnya kelihatan selamba sahaja. Ini adalah kali kedua aku dikendongnya. Berhati-hati dia meletakkanku di kerusi penumpang sebelahnya dan memakaikan tali pinggang keselamatan.
"Isteri you pernah jatuh ke?"
Tersentak aku bila doktor itu bertanya. Aku bagaikan boneka sahaja di hadapan dua orang lelaki ini.

Tuan Megat yang sedari tadi duduk di kerusi setelah meletakkanku, segera menghampiriku.
"Miera pernah jatuh ke?"
Lembut dia bertanya. Baru pertama kali aku dengar suaranya begitu lembut. Kalau tidak dari tadi asyik dengan gaya seriusnya.
"Miera pernah jatuh dulu, tapi dah lama." Aku membuka sejarah silamku.
"Jatuh dari apa? Pokok ke, tangga ke atau katil?"
Doktor ini kurasa sudah melebih pula.
"Saya pernah jatuh motor masa kemalangan dulu." Selamba aku menjawabnya. Geram aku dengan Tuan Megat kerana tiada membantah bila doktor itu bertanya macam-macam.
"Suami awak yang bawa ke?" Doktor itu masih tidak puas hati nampaknya dengan jawapanku.
"Taklah, saya bawa sendiri. Kenapa doktor tanya macam-macam ni?" Anginku mula menyerang satu badan.
"Pandai awak bawa motor? Saya sendiri pun tak reti bawa motor."
Aku mendengus geram, tidak ambil endah apa yang doktor itu bicarakan.
"Dia memang begini, doktor. Perangai pun macam budak lelaki."
Terkejut dengan kenyataan daripada Tuan Megat membuatkan aku merenung tajam ke arahnya. Macam bagus sahaja mulutnya mengeluarkan kenyataan sebegitu. Macamlah sudah kenal lama. Hanya di tempat kerja sahaja kami bertembung, itu pun dari jauh.

"You harus beri perhatian pada isteri you ni. Kalau dia jatuh lagi, mungkin kakinya boleh patah. Okey, sekarang I nak balut kaki isteri you supaya tulang buku lalinya tidak bergegar kerana itu yang membuatkan kakinya sakit bila berpijak. Jadi minta isteri you bertahan sikit."
Panjang lebar doktor itu memberi penerangan.
Tuan Megat mengambil tempat di belakangku dan memegang bahuku. Aku cuba mengelak kerana tidak suka diperlakukan begitu.
"Cuba beri kerjasama!" bisiknya perlahan sambil tangannya diletakkan kembali di bahuku.
Geram sangat rasanya bila memikirkan dia ini cuba hendak mengambil kesempatan. Terasa sakit bila doktor itu menarik kain balutan untuk menegangkan dan aku memegang tepi katil sekuat hati.
"Cuba tahan sikit!" bisik Tuan Megat lagi bila mendengar aku mengaduh sambil menarik diriku bersandar ke dada bidangnya. Selesa dengan tindakan dan perbuatannya, juga berjaya mengurangkan kesakitan. Lagipun aku malas hendak memberontak dengan perangainya. Betul apa yang pernah kubaca - belaian akan membuat kesakitan berkurangan.
Setelah selesai membalut buku laliku, doktor memberi kata-kata nasihat supaya aku tidak banyak bergerak. Dia memberiku cuti sakit selama seminggu.
Ketika hendak keluar dari bilik doktor, Tuan Megat mahu mendukungku tetapi aku menolak dengan memberi alasan bahawa aku sudah boleh berjalan. Apabila kaki sudah dibalut, memang senang hendak melangkah kerana kesakitannya mula berkurangan.
"Macam mana, dah baik?"

Shazlin menyambutku di ruang menunggu. Aku duduk di bangku yang disediakan sambil menunggu Tuan Megat mengambil ubat.
"Bolehlah." Sepatah aku menjawabnya. Masih terasa malu dengan tingkah Tuan Megat tadi.
"Berapa hari doktor bagi MC?" tanya Shazlin.
"Dua hari saja...." usikku.
"Kenapa dua hari saja? Teruklah doktor tu!" bebel Shazlin.
"Tak apalah... Lagipun kerja akak banyak di pejabat," tambahku dengan tujuan untuk mengusiknya.
"Syarikat apa yang akak kerja ni, teruk betul sampai sakit begini pun masih nak suruh bekerja?"
Aku tidak sangka Shazlin akan berkata demikian. Terperanjat aku bila Tuan Megat berdiri di sebelahku dan mungkin mendengar luahan Shazlin. Tetapi hendak menyalahkan dia, tidak munasabah pula. Lagipun dia tidak tahu aku bekerja dengan abangnya.
"Dah, mari balik."
Dia melangkah dulu tanpa mempedulikan kami.
"Kenapa dengan abang ni? Tadi datang bukan main romantik, nak balik main tinggal-tinggalkan pulak!"
Bebelan Shazlin tidak kuendahkan, tetapi lebih memikirkan lelaki itu memang sah sudah mendengar perbualan kami.

4 comments:

  1. putri said...
     

    wah...romantiknya....siap berdkung lagi..........nmpaknye,cm ade jodoh jew..

  2. cik-mie said...
     

    jln citer best...mst kn dptkn u jd koleksi peribadi.. tuan megat tu dlm garang ad caringnyer...

  3. Anonymous said...
     

    so sweet..btol ke ade laki cmni??

  4. Anonymous said...
     

    ermm...cite nie mcm biasa jer..tp x pe..stiap pngarng mesti ada klainan gak kan...anyway..ok lah cite nie~~

Post a Comment



 
Template Modified and Brought to you by blogger templates. Reka bentuk oleh MUZRI (Penulisan2u)