SIAPAKAH DI HATIKU

Adilla Tasha

APA KATA HEROIN?



"Helo cik abang, saya suruh tengok borang ni... bukannya wajah saya."

APA KATA HERO?


"Iye... mulai hari ini, detik ini, abang mahu sayang panggil abang dengan perkataan ABANG. Cuba eja sayang, A…B…A…N…G."

Siapakah Di Hatiku - Bab 11

"BARU balik Miera?" Mama
menyambutku dengan
senyuman.
Mama yang sedang bersantai di sofa kuhampiri.
Tangannya kukucup dan terasa usapan di kepalaku. Hari ini
lewat aku sampai ke rumah. Banyak hal pejabat yang terpaksa
aku hadap dan majlis makan malam yang semakin mendekati
membuatkan aku kecut perut. Tidak tahu yang mana satu
patut didahulukan.
"Hmmm... ya, mama. Penatlah ma," luahku sambil
melabuhkan punggung di sebelah mama.
Helmet kuletak di meja sisi. Hendak terus naik,
malas pula. Rasa nak suruh mama dukung seperti masa aku
kecil-kecil dahulu.
"Kesian anak mama ni. Itulah... mama cakap tak
mahu dengar. Cuba rehatkan diri sikit. Kerja di pejabat
takkan habis, tak kira kita overtime lama mana pun."
Bebelan mama membuatkan mataku terpejam.
Lama aku berkeadaan begitu. Teringat kejadian di pejabat

tadi di mana aku berlanggar dengan seorang perempuan yang hendak masuk ke dalam lif secara tergesa-gesa masa lunch tadi. Tidak tahu tingkat berapa yang dia tuju. Sudahlah aku tidak ada mood pagi tadi. Entah kenapa kepalaku sakit sejak dari keluar rumah. Macam budak sekolah, tidak sabar-sabar hendak masuk. Kami bertiga sengaja diadangnya. Akibatnya aku yang terkena rempuhan perempuan yang tidak ada kesedaran sivik itu. Nasib baik Shikin menarik lenganku. Kalau tidak, aksi kuak kupu-kupu pasti dapat ditonton.
"Buta ke apa orang ni? Tak boleh tunggu orang keluar dulu ke?" tukas Anis geram.
"Aku tak buta, tapi korang yang lembap sangat!" jawabnya sambil memberi jelingan maut.
Dia ingat kami takut agaknya melihat matanya yang jeling menjeling. Nanti juling baru dia tahu.
Anis mahu berpatah balik tetapi segera kutahan. Kalau tidak, bergaduh pula mereka berdua di sini.
Minah tak cukup matang itu masih memandang kami dengan sinis sehinggalah pintu lif tertutup.
"Kenapa Miera tahan Anis tadi? Biar Anis ganyang mulut perempuan tu. Lancang sangat, tak hormat orang langsung!" Keras nada suara Anis membuang rasa hati yang terbuku sambil melangkah meninggalkan kawasan itu.
Dahsyat juga cik kak ni angin. Boleh terbakar semua yang ada di sisinya. Mata-mata yang memandang tidak aku hiraukan. Lantaklah nak pandang. Memang bukan salah kami pun. Mereka ini hanya pandai buat cerita tanpa soal siasat.
"Dahlah Anis, buat apa nak bergaduh. Nanti kita juga yang malu," nasihatku sambil memicit tengkukku berkali-kali.

"Tu la Cik Miera, asyik nak mengalah aje. Sesekali cuba melawan sikit!"
Amboi...! Shikin bersuara pula. Dalam lembut terselit juga angin yang sewaktu dengan Si Anis ni.
"Shikin... dah berapa kali saya cakap jangan panggil Cik Miera," tegurku tanpa menjawab soalan Shikin. Rasa tidak selesa bila di luar pejabat Shikin menggunakan perkataan ‘cik’ di hadapan namaku.
"Sorry, tapi dah biasalah Cik Miera." Shikin memandangku untuk mohon pengertian.
"Awak ni memang...!"
Aku sengaja membuat aksi merajuk dengan berjalan jauh sedikit daripada Shikin.
Dalam sekelip mata Shikin menarik tanganku sambil mendaratkan kepalanya di bahuku. Tanpa rasa malu dan dengan muka selambanya dia berbuat begitu.
Anis sudah ketawa.
Orang keliling terteleng-teleng memandang kami. Aksi tersebut pasti mengundang tanda tanya mereka.
"Okey... okeylah. Saya main-main saja tadi."
Akhirnya aku mengalah, dan Shikin serta Anis ketawa megah.
Entah kenapa hati meronta-ronta untuk memandang ke sebelah kananku. Bagai ada yang menarik-narik perhatianku di situ. Langkahku jadi satu per satu. Nasib baik Shikin dan Anis tidak mengesyaki dan asyik berbual sesama mereka tentang hal tadi.
Sebaik pandangan kulabuhkan, kelibat Tuan Megat sedang tekun merenungku. Di sampingnya Encik Safuan sedang berbual dengan seseorang yang tidak kukenali.

Pandangannya sukar kutafsirkan. Sama ada marah atau simpati. Marah atas kelakuan kami atau simpati dengan apa yang terjadi.
Itu pun kalau Tuan Megat dapat menyaksikan adegan drama sebabak itu.
Aku hanya melemparkan senyuman nipis dan berlalu untuk menyertai Shikin dan Anis tanpa menunggu balasannya.

0 comments:

Post a Comment



 
Template Modified and Brought to you by blogger templates. Reka bentuk oleh MUZRI (Penulisan2u)