SIAPAKAH DI HATIKU

Adilla Tasha

APA KATA HEROIN?



"Helo cik abang, saya suruh tengok borang ni... bukannya wajah saya."

APA KATA HERO?


"Iye... mulai hari ini, detik ini, abang mahu sayang panggil abang dengan perkataan ABANG. Cuba eja sayang, A…B…A…N…G."

Siapakah Di Hatiku - Bab 14

KERANA perjanjian itulah
kini aku berada di sini, di sisi
lelaki ini. Ketika lelaki itu
mengambil aku di rumah, mama yang menyambutnya. Ayah
dan abang hanya tersenyum memandangku. Aku terpaksa
memaniskan muka bila berada di hadapan mereka. Iyelah,
takkan aku hendak buat muka masam, nanti apa pula
anggapan mereka tentang kami.
"Mieeeraaa…."
Lemasnya aku bila dia menyebut namaku.
"Mieeeraaa…."
Sekali lagi dia menuturkan namaku, rasa hendak
terjun dari tingkap kereta ini.
"Saya," kujawab sepatah.
"Kenapa ni? Macam tak ikhlas saja?"
"Mana ada."
"Betul ke atau kerana terpaksa?"
"Shahhh…!"

Lelaki ini sudah mula hendak menaikkan darahku.
"Iye sayang."
"Saya nak cakap sikit, boleh tak Shah jangan panggil saya sayang?" protesku sambil menarik-narik tali pinggang keselamatan.
"Dah saya sayang Miera, nak buat macam mana?"
Lelaki itu boleh bercakap begitu denganku bersama wajah yang tenang dan bersahaja. Seolah-olah perkataan ‘sayang’ itu tidak mempunyai nilai di hatinya. Agaknya kalau aku ni dalam cerita kartun, mesti dah nampak api di atas kepalaku.
"Shah, kenapalah awak macam ni?"
"Kenapa dengan saya?"
"Dahlah! Malas saya nak layan awak." Aku mengambil keputusan untuk berdiam diri.
"Kalau marahkan saya pun, janganlah sampai tarik safety belt tu macam nak terputus pula...."
Aku terasa tersindir dengan kata-katanya.
"Habis, awak tak puas hati?" Nada suaraku mula meninggi. Aku tidak tahu kenapa aku tidak dapat mengawal amarahku.
"Miera, kalau awak tak mahu keluar dengan saya, cakap sajalah. Tak payah tengking-tengking macam ni!"
Angin dia pula yang naik. Serta-merta dia memberhentikan keretanya di tepi jalan tanpa memberi signal. Bertalu-talu hon dibunyikan oleh pemandu di belakang.
Kukerling wajahnya menerusi ekor mata. Nampak tegang. Takut juga aku. Buatnya dia campak aku ke gaung di
bawah itu, alamatnya arwahlah aku dalam usia yang muda remaja ni.
"Dahlah. Kita balik aje," putusnya.
Ada sedikit sesal di dadaku. Aku tahu aku yang bersalah. "Shahhh… saya minta maaf."
Aku cuba berlembut tetapi dia masih membisu sambil matanya tunak memandu.
"Shahhh…." rayuku tetapi dia tetap begitu. Keras. Kaku. Beku.
"Shahhh… dengar tak saya minta maaf ni?" Terasa berat dadaku bila suaranya masih tidak kedengaran.
"Shahhh… pleassseee…."
Terasa air mataku bagaikan hendak gugur tetapi kutahan. Bumbung rumahku sudah kelihatan tetapi lelaki ini masih membisu.
Ketika dia memberhentikan keretanya, wajahnya tetap tenang tanpa sepatah kata.
"Shahhh… jangan buat Miera macam ni...."
Terasa air mataku mengalir di pipi. Entah kenapa aku boleh menangis kerana lelaki ini.
Bila dia masih membekukan diri, aku mengambil keputusan untuk keluar dari perut kereta dan dia langsung tidak memandangku. Dia terus memecut keretanya tanpa mengucapkan apa-apa padaku. Aku hanya membatu di situ dan ketika aku hendak melangkah, kulihat ada tin Coca-Cola kosong di atas rumput. Aku terus menendangnya untuk melepaskan kemarahanku tetapi kutahu itu adalah tangisanku.
MAMA terperanjat melihat kelibatku yang tidak sampai setengah jam sudah berada di hadapan matanya semula.
"Cepat Miera balik?"
Sudah kuduga, mama pasti akan bertanya.
"Shah ada kerja penting yang nak diselesaikan," bohongku.
"Iye ke?"
Aku tahu mama mesti tidak puas hati.
"Iyelah ma. Okeylah, Miera nak naik dulu." Aku terus berlalu ke bilikku di tingkat atas tanpa memandang mama. Aku takut mama dapat mengesan kekeruhan di wajahku.
"Kenapa dengan anak awak tu Maz?" Ayah bersuara apabila terpandang wajah keruh anak daranya.
"Entahlah bang, Maz pun tak tahu. Tak sampai setengah jam keluar dengan Si Shah, dah balik. Ni mesti ada apa-apa...." getus mama.
"Hmmm... entahlah," keluh ayah.
Lama mama dah ayah berdiam diri, memikirkan perihal satu-satunya anak gadis mereka.
"Abang, macam mana kalau Maz telefon Min?" Mama meminta kebenaran ayah.
"Kalau untuk benda yang baik, abang tak kisah."
Tersenyum mama apabila mendengar keizinan yang terlafaz dari bibir ayah. Mama terus mencapai telefon dan mendail nombor yang memang sudah tersemat di fikirannya.
"Assalamualaikum Min." Mama berbicara dengan suara di hujung talian.
"Waalaikumussalam Maz. Aku baru nak telefon
kau." Memang terbukti ada keserasian di antara dua wanita ini.
"Apa hal kau nak telefon aku, Min?" tanya mama.
"Ni pasal anak teruna aku... Yang kau pulak pasal apa telefon aku?" Suara di sebelah sana pula bertanya.
"Pasal anak dara akulah! Muka monyok semacam.... Baru setengah jam keluar dah balik," cerita mama.
"Hai… sama je bunyinya dengan anak teruna aku. Dua-dua monyok ni... mesti ada kes." Suara di hujung sana pula meneka.
"Apa kata kita buat rancangan untuk mereka berdua ni...." Suara di sebelah sana menambah.
"Aku tak kisah, lampu hijau pun dah on."
Tak sangka rancangan mama sama dengan suara di hujung sebelah sana.
Maka dengan semangat berkobar-kobar, kedua-dua wanita itu pun mengatur rancangan mereka tanpa pengetahuan anak dara dan anak teruna mereka.

2 comments:

  1. aqua91 said...
     

    ble nak masukkan n3 bru?x sabar dah nak bce.....

  2. meera_sal said...
     

    Citer nie mmg2 sweet , ske sgt2 . kalo la dpt hidup dgn lelaki mcm shah kn best .. :DD

Post a Comment



 
Template Modified and Brought to you by blogger templates. Reka bentuk oleh MUZRI (Penulisan2u)